Friday, September 30, 2011

ROTI CICAH SUSU



Umaira (Mai) dibesarkan bersama Elmiyya (Elmy), Arissa (Aris) dan Aiman (Ayim) di sebuah rumah kebajikan, Teratak Markissa. Sebelum dewasa, Teratak Markissa musnah angkara Geng Tengkorak. Mereka semuanya berpisah. Mai terpaksa tinggal bersama si kaki dera. Ayim diserahkan kepada Haidar, konco kanan Geng Tengkorak. Namun, Ayim benci pada keganasan Haidar. Hobinya adalah membaca novel-novel cinta karya Widad Qameela. Pertemuan Widad dan Ayim didalam penerbangan ke Malaysia telah membawa kejutan. Widad rupa-rupanya adalah Mai, si comot berhingus yang pernah bergerak bagaikan kembar siam dengannya dulu. Bagaimana pula dengan rakan-rakan lama mereka yang lain?

Aku takkan biar putaran masa lumpuhkan kenangan kita. Mungkin sekarang kau dah besar, dah lawa. Tapi, bagi aku, kau tetap budak comot yang berhingus macam dulu. Tak kira apa pun yang jadi, aku akan tetap sayang kau sampai bila-bila. Cuma aku takut untuk mendampingimu, Mai. Sebab aku juga bukan Aiman yang dulu. - Ayim

Aku memandang awan mega dari sudut terpencil. Putihnya, tulusnya, tidak kulihat dihati mereka yang aku cintai, mereka yang ku panggil saudara. Aku mahu melangkah diatas angin, cuba menjejak istana kayangan di kaki langit. Sedangkan aku tahu, tubuh berdosa ini, akan jatuh menghentan bumi, takkan sampai ke taman larangan yang aku impikan. - Mai

"Jo, Aris terima Jo seadanya. Walaupun orang panggil Jo lembik, sotong. Dulu Aris angkuh, Aris pandang rupa dari hati yang ikhlas. Sekarang barulah Aris faham, cinta sejati bukan tafsiran pandangan mata. Mata hanya mampu memandang bukan merasa dan menilai." - Aris

Apa yang menyatukan dua hati atas nama persaudaraan? Adakah dengan berkongsi DNA ibu dan ayah yang sama, kita dipaksa menyayangi antara satu sama lain? Soalan-soalan ini acapkali memburu saya, membuatkan saya terpanggil untuk menghasilkan ROTI CICAH SUSU. Kita menyayangi kerana kita mahu menyayangi, bukan kerana amukan simpati atau paksaan. Salam kasih daripada saya.


 - Liza Nur-

No comments:

Post a Comment